Jumaat, 25 November 2011

Maal Hijrah 1433 Hijrah


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan rahmat dan hidayahNya dapatlah kita bersama-sama menyambut Maal Hijrah bagi tahun 1433 Hijrah ini.

2. Hijrah atau perpindahan Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah merupakan satu titik sejarah yang amat besar ertinya ke atas perkembangan Islam dan juga kekuatan umatnya.

3. Pentingnya Hijrah itu tidak dapat kita nafikan kerana ia adalah satu Sunnah Nabi yang memberi pedoman terhadap sikap dan gerak-geri kita. Antaranya, dengan Hijrahlah kedudukan umat Islam telah berubah. Kalaulah sebelum Hijrah mereka telah dihina, diseksa dan dihalang daripada melakukan tuntutan-tuntutan agama, maka setelah berhijrah Rasulullah s.a.w. dan umat Islam tidak lagi menerima penghinaan dan penyeksaan. Sokongan kaum Muslimin di Madinah, serta terlepasnya daripada cengkaman golongan Musyrikin Mekah, telah berjaya membebaskan umat Islam daripada belenggu penindasan dan penghinaan.

4. Selain daripada itu Hijrah juga telah mengubah keadaan kesempitan hidup yang dialami oleh umat Islam dalam bidang ekonomi. Di Madinah khususnya, orang-orang Islam berpeluang dan berjaya membangunkan ekonomi mereka. Hijrah juga menjadikan kumpulan Muslimin yang kecil bilangannya di Mekah dahulu bertambah besar dan kuat sehingga terbentuknya sebuah negara Islam di Madinah. Negara Islam yang baru muncul itu kemudian telah berkembang maju dan kuat sehingga dapat menandingi pemerintahan-pemerintahan lain di sekitarnya. Kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai ketua Negara Islam Madinah yang kemudiannya diteruskan oleh sahabat-sahabatnya yang jujur dan ikhlas telah berjaya memperluaskan Negara Islam sehingga ke Eropah dan Asia Tengah.

5. Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah juga memberi pengajaran yang penting kepada umat Islam. Untuk memastikan perkembangan agama Islam, Baginda sanggup berundur dahulu dan merintis jalan yang lain yang lebih selamat. Demikian juga dengan kita umat Islam di zaman kemelesetan ini. Jika kita lemah kita harus mencari jalan untuk menguatkan diri sebelum kita menghadapi sesuatu cabaran. Berundur sementara waktu tidak bermakna kegagalan. Ianya satu strategi sahaja. Kita tidak harus angkuh dengan taraf kita sehingga kita tidak sanggup membuat sesuatu yang dianggap rendah atau menghinakan, walhal perbuatan itu boleh menolong kita apabila keadaan berubah. Sebenarnya, apabila kita mengakui dan menerima hakikat itu dan kita menyesuaikan langkah-langkah kita dengan hakikat tersebut demi kejayaan jangka panjang, kita melakukan hijrah yang semangatnya tidak berbeza dengan Hijrah junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w.

6. Sesuai dengan perjuangan Rasulullah s.a.w. yang membetul dan memperkuatkan akidah, memperbaiki dan meningkatkan ekonomi, memaju dan meningkatkan ilmu pengetahuan serta membentuk dan memelihara Kerajaan Islam, maka kita sekarang ini juga berusaha ke arah itu.

7. Sepertimana yang kita sedia maklum bahawa Hijrah ini ertinya berpindah, maka kita umat Islam hendaklah berpindah atau mengubah sikap yang kurang baik dan tidak menguntungkan kepada sikap yang lebih berfaedah, walaupun terpaksa berhadapan dengan berbagai cabaran. Nasib umat Islam tidak akan berubah jika kita sendiri tidak mahu mengubahkannya. Sikap manja, kurang berusaha, mengharap belas kasihan orang adalah sifat-sifat hina yang tidak disukai oleh Islam dan bertentangan dengan semangat Hijrah ini.

8. Hijrah boleh juga kita ertikan sebagai 'keluar' daripada sesuatu kedudukan atau keadaan yang buruk atau tertekan kepada keadaan yang lebih selesa dan terjamin. Umat Islam mestilah mengutamakan unsur ikhtiar dalam hidup kita setiap hari oleh kerana penghijrahan Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah adalah merupakan satu ikhtiar.

10. Peristiwa Hijrah juga mengajar kita supaya bersedia menghadapi sebarang cabaran atau kemungkinan, dan dengan itu berusaha supaya kemungkinan sesuatu peristiwa buruk tidak berlaku. Sebelum Hijrah, Rasulullah s.a.w. telah merapatkan perhubungan dengan pembesar-pembesar Madinah dan sudah terdapat perjanjian dan sumpah setia orang Madinah kepada Baginda. Apabila di Madinah, penganut Islam telah menghadapi beberapa percubaan daripada kaum Jahiliah untuk menawan Madinah. Semua dugaan ini telah dapat diatasi oleh Rasulullah dan pengikut-pengikutnya, apabila mereka bersedia untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan buruk dan tentangan-tentangan seperti itu.

Semua ini adalah sebahagian sahaja daripada pelajaran yang boleh diperolehi daripada satu peristiwa yang amat penting dalam sejarah perkembangan Islam. Jika bahagian yang kecil ini sahaja memberi panduan kepada kehidupan umat Islam, ini sudah boleh menjamin kebahagiaan yang besar bagi kita.

Dalam sambutan Maal Hijrah yang akan diadakan pada tiap-tiap tahun, kita mungkin dapat memperolehi lain-lain pelajaran pula daripada peristiwa Hijrah. Tidak syak lagi bahawa sedikit demi sedikit sambutan Maal Hijrah akan menjadi satu daripada cara bagi mengembangkan ajaran dan nilai hidup umat Islam yang boleh menambahkan kebahagiaan kita. Oleh itu, kita rayakanlah Maal Hijrah dengan penuh kesedaran dan kefahaman akan pentingnya peristiwa yang berkat ini.

Sempena sambutan peristiwa Hijrah yang bersejarah ini, marilah kita bersama-sama memperkuatkan keazaman dan mengembleng tenaga menjalankan kewajipan. Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga perjuangan kita akan sentiasa diberkati dan dilindungiNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

 
Great HTML Templates from easytemplates.com.